Menjelang kita menunggu kedatangan tahun baru 2013, sepertimana tahun-tahun yang lepas, ini juga adalah masa yang terbaik untuk menguatkan keazaman kita kearah gaya hidup yang lebih baik, kesihatan serta kesejahteraan tubuh badan dengan diet yang lebih sihat. Sepatutnya pada tahap ini kita sudah lebih memahami bahawa pemilihan untuk berdiet serta untuk mencapai tahap berat badan yang ideal bukanlah satu program jangka pendek. Sesiapa yang telah berjaya menurunkan berat badan mereka ketahap berat idamanl pada tahun ini saya mengucapkan tahniah diatas kejayaan anda. Namun demikian anda harus faham bahawa proses penurunan berat badan sebenarnya adalah proses yang mudah dan proses yang paling mencabar lagi adalah mengekalkan berat idaman yang telah anda capai itu sepanjang hayat. Bolehkah anda berjaya didalam fasa berdiet yang terakhir ini ?
Apapun keperluan serta resolusi tahun baru anda, pada kali ini jangan tinggalkan resolusi untuk mencapai kehidupan yang lebih sihat untuk anda sekeluarga. Untuk berjaya pada tahun 2013 nanti bukan hanya setakat keazaman yang kuat tetapi buatlah pelan serta strategi yang beransur-ansur untuk anda faham tentang keperluan kesihatan serta memilih makanan yang lebih sihat,carilah hobi bersukan serta jadikan senaman sebagai rutin harian. Tinggalkanlah tabiat-tabiat buruk yang lain seperti merokok, serta pilihan makanan dan minuman yang tidak baik yang menjejaskan kesihatan, merosakkan hormon dan menyebabkan berat badan anda naik semula.Adakah anda memilih untuk menjadi orang yang makan untuk hidup atau hidup untuk makan ? Buatlah pilihan yang betul kerana kesejahteraan tubuh badan juga akan membantu kepada kesejahteraan mental, emosi serta spiritual yang lebih tinggi.
Apapun keperluan yang anda pilih untuk kebaikan diri anda, saya mendoakan supaya anda dan semua rakan-rakan kesihatan fb menjadikan tahun 2013 sebagai tahun yang lebih sihat untuk diri dan keluarga kita. Jadikanlah diri kita lebih komited terhadap pemilihan kesihatan yang lebih baik dan minda kita sentiasa diolah dengan cara berfikir orang sihat.
Sekali lagi saya mengucapkan selamat menyambut tahun 2013 sebagai tahun yang lebih baik untuk kesihatan anda !